Friday, 28 November 2014

Cara Tuhan mengajarku

Assalamualaikum people. 

Masih bernafas. Masih mahu menulis dan masih ingin menjadi ksatria dalam gerabak cinta Tuhan. Berbulan-bulan aku menangis dalam kesedihan ujian kiriman kasih sayang Tuhan. Berminggu-minggu aku berperang dengan perasaan. Satu persatu aku tepis. Tapi perasaan semakin sakit. Ujian makin lebat. Tangisku di atas sejadah makin berlagu. Rajukku makin menggila. Hati. Berjanjilah bahawa engkau akan pulih. Berjanjilah kerana aku tak ingin 'pergi' bersama derita. Aku ingin damai selalu melingkar di hujung nyawa. Kerana aku memiliki sebuah cita-cita untuk pergi dari umur yang paling baik di sisi Dia. 

Akulah manusia itu. Manusia yang sering mempertikaikan keadilan Tuhan. Akulah manusia yang selalu mempertanyakan di mana rasa belas kasih Tuhan yang membiarkan aku derita dalam diam. Di mana keprihatinan Tuhan yang memberikan semua keinginan manusia lain tercapai sedang aku bergelut dengan kesusahan demi kesusahan meluruskan hati. Kenapa Tuhan membiarkan mereka ketawa bahagia di hadapanku sedangkan membiarkan aku menepis rasa kelat di sepanjang jalan ini? 

Bisa saja aku meyalahkan semua kejadian yang aku alami hingga saat ini. Bisa saja aku mempertanyakan mengapa Tuhan mengujiku seperti ini. Memberikanku keadaan yang membuatku susah payah. Memberiku keaadaan yang selalu membatku sulit untuk membuat keputusan. 

Dulu, aku meresahkan setiap langkah kaki yang ku buat. Setiap keadaan yang mengelilingiku seolah-olah mengerdilkan fikiranku tentang keadilanNya. Aku mempertanyakan sikapnya yang seolah-olah pilih kasih. Mengapa aku terus menerus diberikan kegelisahan dan kesedihan bahkan kegagalan, sementara orang lain bisa tertawa bebas di atas kebahagiaanya. Aku terus menerus murung dan sekali lagi mempertanyakan keadilannya. 

Aku pernah merasakan bahawa aku adalah orang yang paling tidak bahagia. Kerana aku tahu, hampir semua yang aku harapkan selalu dipatahkan. Entah dipatahkan oleh keadaan, entah oleh orang lain, atau aku patahkan sendiri kerana aku takut untuk membuat pilihan. 

Aku sering minta Tuhan pisahkan aku dengan orang-orang yang selalu membuatku sakit, yang sering membuat hatiku berkecamuk. Tapi yang Tuhan berikan adalah sebaliknya. Orang yang tak ingin aku jumpa, selalu muncul di depan mata secara tiba-tiba. Manusia yang pernah buat aku kecewa selalu juga hadir tanpa aku mahu melihatnya. Sekali aku mempersoalkan kepada Tuhan, kenapa Tuhan masih membuat jiwaku tersiksa dengan tidak menjawab permintaanku? Lama kelamaan hati ini jadi lali. Rupanya aku makin dewasa untuk belajar erti ikhlas. Ya aku belajar. 

Saat aku menjadi manusia yang tertimpa masalah masalah besar dari hidup, dari hati dan dari orang sekeliling, Tuhan masih hadirkan aku insan lain yang mempunyai masalah yang jauh lebih berat dibanding aku untuk aku bantu. Kenapa aku? 



Malam itu seorang senior menghubungi aku dan mahu curhat (curahan hati) tentang masalah kedipuannya. Sudah lama dipendam dan sudah sering menunggu aku lapang. Kerana terdesak malam itu dia menghubungiku dan mahu bicara juga saat itu walaupun aku sebenarnya ada peperiksaan esok hari. Cara Tuhan membuat aku berfikir bahawa dalam derita aku, nyata masih ada manusia yang jauh lebih derita dariku. Menyedarkan aku walaupun aku punya masalah yang belum selesai, aku tak akan membiarkan manusia yang punyai masalah terkapai-kapai. Aku harus menjadi pendengar yang boleh dia bergantung. Seandainya dia tahu aku pun punya masalah, pasti dia tidak ingin aku ikut tahu masalahnya. Kerana dia hanya melihat luaranku yang selalu ceria. 

Esoknya, masih ada seorang senior yang mempunyai masalah yang lebih berat sedikit berbanding senior sebelumnya. Juga mengajakku ke sebuah kedai makan untuk menceritakan beban kehidupannya juga. Sekali lagi aku bertanya pada diriku, Telah jadi siapa aku ini? Kenapa diletakkan kepercayaan orang-orang untuk memperdengarkan masalah mereka kepadaku? 

Pun begitu, dari situlah aku belajar bahawa Tuhan ada sejuta cara mengajar manusia berfikir dan membanding kuasa Tuhan yang luar biasa dalam mengadili hambanya. Saat aku rasa aku adalah manusia yang paling tidak beruntung, Tuhan masih datangkan manusia manusia lain yang buat aku berfikir aku masih beruntung sebenarnya. 




Sampai hari ini aku menemukan semua jawapan atas semua perjalanan itu. Mungkin, bila aku tidak mengalami itu semua, aku tidak pernah bertemu dengan kehidupan Bertuhan yang sekarang. Bahawa dulu ketika setiap lngkah kaki yang ingin ku ambil, selalu dibelokkan. Bahawa mungkin, bila satu saja impianku terlaksana, mungkin aku tidak akan berada di sisi kehidupan Bertuhan saat ini. 

Adalah pencarian Tuhan yang membuatku merasa menjadi orang paling bahagia hari ini. Yang menyedarkanku bahawa setiap keadaan yang terjadi di masa lalu itu menggerakkan langkah kakiku mendekati Tuhan. 

Dulu, aku hanya rajin mendengarkan lagu jiwang soal pacaran dan cinta yang tak bertujuan jelas. Kini aku lebih gemar mendengar murattal al-quran. Bahawa dulu aku hanya membaca novel cinta. Tapi kini aku berhala tuju ke arah buku buku fikrah islami. Bahawa dulu aku hanya bergaul dengan teman dekat, tapi kini aku makin suka menambah kenalan di jalan Tuhan, bahawa dulu aku hanya menunaikan solat lima waktu tapi kini aku menambah solat solat sunat. Yang mana dulu aku membaca al quran dari surah yang aku suka sahaja tapi kini aku istiqamah membaca alu quran satu juzuk setiap hari. Dahulu aku mencari teman mendengar masalah peribadi tapi kini aku bersujud di malam hari merintih pada Dia yang satu. 


Semua itu aku rasakan sendiri kini. Setelah melalui ujian demi ujian dari hidup, kekecewaan demi kekecewaan yang menimpa, akhirnya perubahan itu aku rasai sendiri. Ya diri kita sendirilah yang lebih mngenal siapa kita yang dahulu dan siapa kita yang kini. Mujur Tuhan pimpin aku. 


Mungkin saat ini Tuhan tersenyum-senyum melihat aku. Dulu aku mencaciNya, mempertanyakan keadilanNya. Kini aku memuji caraNya menggerakkan makhlukNya. Termasuk menggerakkan langkahku ini. Kerana aku menemukan jawaban itu kini. Takdir itu ternyata terletak padaMu. 

Sekian.

No comments:

Post a Comment