Sunday, 23 October 2011

falsafah hayat!


Aku perdengarkan satu syair zaman jahili yang buat hatiku tertaut amat padanya.
Boleh dijadikan sebagai falsafah dalam mengharung hidup yang penuh onak duri.
Lantas menjadikan hati selalu tegar walaupun dunia seakan runtuh. Bumi seakan terbenam.
Tuhan. UjianMu bagiku berat. Maafkan aku kerana sering merungut seolah tidak redha dengan pemberian bernilai dariMu.

Hati sering tidak merelakan. Ini suratan. Hadiah sebagai satu kesedaran. Manusia memang tidak lari daripada penyakit lupa. Sepatutnya ucapan terima kasih didahulukan kerana Dia masih sudi mengingati. Membetulkan mana yang kurang.

Wahai orang yang sering mengadu,
padahal engkau tidak mempunyai sebarang penyakit.
Bagaimana jika engkau benar-benar mempunyai penyakit?
engkau melihat duri dalam kuntuman mawar.
melihat embun menghiasi kelopak itu.

Dan sesiapa yang menyangka dirinya tidak cantik,
Pastinya semua yang dia miliki baginya adalah tidak cantik.

Maka bergembiralah bermula dari waktu subuh lagi
selama mana kamu masih berada di dunia.
Jangan takut jika pagi berlalu hingga ia benar-benar berlalu.

sesungguhnya burung-burung kecil mengenal sarang-sarang mereka.
Adalah sesuatu yang memalukan wahai orang yang sering mengadu
bahawa engkau tidak dapat mengawal emosimu
apabila berhadapan dengan cubaan dunia.
engkau masih jahil.

burung-burung kecil berdendang dan berkicauan
walaupun helang menguasai angkasa raya.
dan kala ini pemburu sedang sibuk berburu.

sedangkan umur si burung kecil hanya seketika dibanding usia manusia.
Maka apakah kamu masih merungut?
mengapa perlu mengeluh sedangkan adakalanya umurmu panjang juga?
Tidak malukah?

Jadinya...
Yang pantas bagi engkau adalah mencari keseronokan sebagaimana
burung-burung kecil mencari tempat untuk berlindung dan berteduh.
Belajarlah dari burung-burung untuk mencintai alam semulajadi
dan tinggalkanlah rungut-merungut.
Jadikan ia sebagai sempadan.

Engkau ini dari bumi awalnya dan akan berakhir di bumi juga,
samada engkau seorang raja, atau hamba yang hina dina.
Semua adalah sama.

Begitulah maksud yang saya faham dari syair yang di dalamnya mengadungi unsur-unsur falsafah untuk dijadikan sebagai penguat semangat dalam hidup yang beronak liku.

Bagi sesiapa yang mempunyai hati untuk menilai. Mempunyai rasa untuk merasa.

Kerana masa yang berbaki terlalu pendek sebelum saya berangkat pulang ke kampung halaman, maka saya hanya sempat menulis makna bait syair sahaja.

Saya yakin seandainya saya menaip syair itu sendiri dalam bahasa arab tentu ia akan memikat setiap qalbu yang berjaya menjiwainya. Sungguh! bahasanya cantik sekali.

Ujian menjadi pengalaman berharga bagiku.
Mengalah tidak beerti kalah.
adakalanya kita hanya mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang ada.
Semoga keputusan yang telah terlaksana tidak sia-sia.
Sabar itu indah bukan?

Sehebat-hebat Pencipta adalah Dia yang menguasai langit dan bumi.
Selemah-lemah manusia adalah diriku yang penuh kekurangan.

Salam kemaafan buat semua.

No comments:

Post a Comment