Suatu masa dulu hambaMU ini hanyut dalam arus
kehidupan, begitu sibuk menegejar impian dengan harapan mendapat penghormatan
dan kemewahan. Dunia yang fana ini menjadi matlamatku. Cinta berteraskan nafsu
menjadi buruanku. Perihal akhirat tiada ku endahkan. Perintah dan laranganMU
tidakku hiraukan. Azab dan seksaanMU tidakku risaukan, syurga dan nerakaMU
tidakku fikirkan.
Sehinggalah pada suatu hari…
Engkau mengujiku dengan kegagalan yang
memusnahkan segala harapan, menjadikan hambaMU ini bergelut dengan kesedihan.
Ya Rahman…
Saat itu sangat sukar bagiku menerima kenyataan,
ku bertanya di mana kesilapan dan kesalahan, hingga kupersoalkan apa yang telah
Engkau takdirkan, ku menjerit di mana keadilan dan belas kasihanMU oh Tuhan.
Dan kini…
Barulah ku sedari pada kegagalan yang kuanggap
suatu ketidakadilan itu terselit nikmat kasih sayangMU ya Rahim, kerana melalui
kegagalan itulah aku mula mengenaliMU. Disebabkan kegagalan itulah aku
menyedari bahawa dunia tidak patut dijadikan matlamat, cinta berlandaskan nafsu
tidak patut dijadikan buruan, lantas ku berpaling darinya dan berlari kearah
cintaMU, hanya keredhaanMU sahajalah yang ingin ku raih kini.
Ya ‘Azim…
Ingin kuluahkan kesyukuranku kepadaMU, kerana di
antara berjuta manusia Engkau telah sudi memilih diriku yang hina dina ini
untuk menerima taufik dan hidayah dariMU dan menghijrahkan diriku dari alam
jahiliyah ke alam uluhiyyah dan ubudiyyah.
Ya Allah…
Aku amat berterima kasih kepadaMU kerana Engkau
tidak pernah membiarkan diriku terus tersesat dalam kehidupan yang serba
sementara ini meskipun ketika itu aku sering terlalai dari mengingatiMU.
Memang tidak dapat dinafikan lagi, bahawa
sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Ya ‘Aziz…
Izinkan aku untuk terus berada dalam jalanMU ini
buat selama-lamanya. Janganlah Engkau kembalikan aku ke lorong gelap yang
membawa kepada kesesatan, ampunkanlah kejahilan dan kelalaianku selama ini.
Pimpin dan bimbinglah hambaMU yang lemah ini kearah cintaMU. Kumohon agar Dikau
teguhkanlah tugu keimananku, benarkanlah aku untuk merasai halawatul iman,
anugerahkanlah kepadaku kekuatan dan kesabaran, pekakkanlah telingaku dari
sebarang ejekan dan sindiran, kebalkanlah jasadku dari sebarang kesakitan dalam
menjalankan amanah yang Engku pikulkan di bahuku ini.
Ya Khaliq…
Jadikan setiap hembusan nafasku, setiap kelipan
mataku, setiap degupan jantungku, setiap helaian rambutku, setiap bait
perkataanku, setiap hayunan tanganku, setiap langkah kakiku dan setiap titis
darahku hanyalah untukMU.
Sebelum tiba ajalku, ingin ku merayu kepadaMU,
bukakanlah pintu hati insan di sekeklilingku untuk mengampuni dosa-dosaku
terhadap diri mereka. Lancarkanlah lidahku untuk menjawab pertanyaan malaikat
utusanMU, luaskanlah dan terangilah tempat pembaringanku, meriahkanlah pusaraku
dengan ayat-ayat suciMU, permudahkanlah perjalananku di alam seterusnya,
curahkanlah redhaMU terhadapku sepanjang hayatku, dan izinkalah aku menghadapMU
di dalam jannah yang serba indah, dan esok andainya aku tidak bernafas lagi,
sampaikanlah ucapan selamat tinggalku kepada insan yang kusayangi, bimbinglah
mereka sebagaimana Engkau telah sudi membimbing diri ini, agar dapat ku bertemu
dengan mereka lagi di pertemuan yang hakiki, di dalam syurga yang abadi.
P/s: Terima ksaih teman-temanku semua. Aku mohon
ampun dan maaf di atas kesilapan yang telah aku lakukan, marilah sama-sama
muhasabah diri, ingatlah setiap perkara yang baik dan buruk ada hikmahnya,
boleh jadi sesuatu yang dibenci itu ada kebaikannya, dan kemungkinan sesuatu
yang disukai itu ada keburukannya. Marilah rakan-rakan kembali kepada jalan
yang benar, semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan Allah dan
sentiasa mendapat keredhaanya. Amin.

No comments:
Post a Comment