Friday, 28 September 2012

setelah permusafiran panjang

Entah bila ia bermula, tiada bingkai waktu yang pasti dalam memoriku. Namun kembara itu adalah titik permulaan naratif ini. Ketika saat usiaku memncecah 21 tahun. Ketika umur dewasa digerbang imaginasi, aku menyusur satu jalur di peta dunia. 

Ketika akal dangkalku masih disalut angan kasmaran, aku melangkau garis khatulistiwa ke selat Mediterranean. Aku katakan perjalanan itu sukar, payah dan mencabar. Tetapi aku yakin di sana ada sensasinya. Lantaran itu aku terbang ke satu sudut benua. Sengaja pergi seketika dari bumi sendiri. 

Anganku pernah menyadur ilusi lewat penerbangan menaiki pesawat  besi. Aku terbayang menunggang sekedup unta yang membawa barang kafilah badawi. Kemudian berdiri di atas pasir halus di bawah pijar mentari muda. 

Seketika ternampak rekah dan lurah batu terjal yang menegangkan urat kuras di dalam pendakian bukit berbatu.  Aku juga ternampak pelepah tamar kering yang gugur di atas debu pasir. Sahara kontang yang leluasa. Dataran tandus yang tidak dihuni sesiapa. Gersang! 

Sepintas aku terbayang lautan biru yang berbingkaikan pantai di sepanjang tebing Mediterranean. Percikan ombak yang diiput angin selebu berhembus pesisirnya. Segar! Ketika burung besi itu mendarat, aku terkedip-kedip di bangku pesawat sambil mencipta enigma sifar. 

Yang jelas saat itu, statusku berubah metah. Daripada anak ‘watan’ kini bertukar kepada anak ‘dagang’. Berdagang itu bukan satu kerja, tetapi status baru bagi tamu asing sepertiku. Yang bakal disisih beberapa haknya, yang bakal kurang autoritinya daripada penduduk peribumi. Kerana aku ‘bakal’ menumpang di tanah orang.  

Justeru, kelana ini sudah kudasari dengan beberapa persepsi sendiri. Walaupun aku sedar diri ini adalah kelana bujang yang mentah daripada segala taksiran hidup dan pengalaman. Hakikat tetap hakikat, ia menyatakan bahawa aku sedang membesar. Sudah pasti aku mahu mengerti segala yang dikaitkan dengan perkataan ‘hidup’. Realiti tetap realiti, ia mengajar aku erti setiap sesuatu. Sudah tentu aku mahu faham apa yang dikatakan ‘berdikari’. 

Pagi hari itu, ketika lapangan terbang antabangsa Amman melepaskan sekelompok imigran keluar dari tembok sempadannya. Aku salah seorang manusia yang menyusur di celah-celah ratusan orang itu. Dari teduh bumbung, Aku keluar ke bangunan. Sengaja mahu menatap lazuardi Timur Tengah. Saat kanta mataku terbuka diserap cahaya langit siang, aku diserbu taajub yang amat. 

 Di situ, Jordan menyambutku. Di gerbang pintu melangkah. Jordan menerimaku, dengan kepuk debu dingin daripada kabut sahara. Jordan melambai, daripada kusar tanah keringnya yang kemerahan. Lalu aku meraih lambaian pertama setelah permusafiran panjang. Lelah yang membusung di nubari aku tumpahkan di atasnya dengan lafaz Alhamdulillah.

 Dari garis khatulistiwa, akhirnya aku mengukir satu jalur lintang ke timur tengah. Lalu ianya ternoktah di sini seketika. Titik!   

Satu titik yang akan membias menjadi tutjuh warna spectrum kehidupan.  Satu titik yang akan bercapah menjadi seratus jalur cerita. Satu titik yang akan melecak menjadi seribu rasa jiwa.  Satu titik yang akan pecah dan mengurai sejuta wajah dunia.  

Aku diam. Kerana diam itu memberi lebih makna dan rasa daripada kata-kata yang lahir tanpa sebarang fakta. Aku pandang. Kerana pandangan itu lebih pantas meresap ke jiwa daripada retorik suara yang bersifat gema.

Aku diam melongo, memandang langit dan Tanah Besar Jordan bagai si buta yang kehilanagn tongkat. Rasa gharib menyerbu seluruh atma. Aku seolah-olah kelu, bisu dan kaku walaupun pada zahirnya aku sedang bergerak dan berdiri dengan kaki sendiri.  Rasa kagum sarat pada Tuhan yang maha Pencipta, Tuhan yang kusembah dengan Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyah. 

Hanya dengan satu pandangan ringkas pada titik besar di depan mataku. Dia meledakkan rasa takjub di jiwaku. Meruntuhkan segala tembok-tembok takbur dan besar diri. Hingga aku merasakan kerdil, bagai si kuman yang menumpang di hujung kuku seekor lalat. Amat hina. 

Sebetulnya persepsiku tentang suasana bumi ini perbagai. Imej yang kubayangkan tentangnya adalah mundur dan kuno. Seolah bangsanya masih berdiri di atas method lama yang primitf. Benarkah begitu? Pada persepsiku, Jordan adalah Negara mistik yang menyimpan segala rahsia kenabian dan kisah pemuka-pemuka yang ingkar pada Tuhan. Di manakah misteri itu mampu aku rungkaikan? 

Mulai saat ini aku akan menebak persoalan itu sendiri. Secara satu persatu. Benarlah kata orang, fizikal dan mental adalah dua unsur yang harus menyatu. Jasmani dan rohani adalah dua elemen yang perlu jalan seiring, baru terciptanya hakikat. Baru tersingkap realiti. Mendengar dan melihat adalah dua proses yang berbeza. 

Teori dan praktikal adalah dua perkara yang tidak serupa. Hipotesis seseorang terhadap sesuatu hanya melalui pendengaran akan jadi tumpul dan sekerat. Tidak sama dengan mereka yang mendengar dan melaluinya sendiri. 

Di situ akan lahirnya makrifat!  Jika dulu aku sekadar mendengar, kini aku sudah melihat. Jika dulu aku sekadar berangan, kini aku sudah berjalan dan menyentuh tanahnya. Aku sudah sampai ke tempatnya. Ke Jordan. 

“Sambutlah aku dengan barakah bumi itu. Jangan sisihkan aku dari rahmat yang melata pada setiap untaian butir pasir merah ini. Jadikan ripuhan debu-debunya dan kepulan asap-asapnya sebagai azimat yang berasimilasi dengan doa kesejahteraan. Agar aku terus mapan berkelana di bumi ini.”

No comments:

Post a Comment