Sunday, 30 September 2012

Kudus Warkah hatiku.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullah, akhi yang sentiasa dikasihi Allah.
Tulisan ini dimulakan dengan nama Allah. Mudah-mudahan, rahmat-Nya akan sentiasa bergayutan untuk kita capai dan peluk.

Akhi, sungguh saya bersyukur kepada Allah. Jika bukan kerana kekuatan yang Dia kurnia, pasti tidak akan lahir tulisan daripada jari hati saya ini. Syukur juga kerana kita masih punya usia. Tanpa usia, kita tidak akan punya peluang untuk mensyukuri nikmat-Nya yang masih banyak kita dustakan. Tanpa usia, kita takkan mampu melaksanakan kewajipan yang masih banyak terbiar tak terusik. Tanpa usia, kita takkan mampu menyesali dosa kita pada hari-hari yang berlalu dan paling penting, jika kita sudah tinggal kerangka tanpa nyawa saat ini, tidak sempat untuk kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita telah lakarkan pada buku catatan amal kita, masing-masing.

Akhi, ada suatu yang penting harusku bicarakan. Walau tulisanku bercerita, tapi hakikatnya ia adalah cerita dari hatiku. Jiwaku yang paling dalam sedang mahu berkata-kata sesuatu. Dengarlah dengan teliti.

Benar, aku menyayangimu. Benar, aku mencintaimu. Aku tahu engkau juga sama. Tapi akhi, maafkan aku kerana aku terpaksa membenamkan perasaan ini. Aku baru sedar, bahawa aku telah terlebih dahulu dicintai oleh Dia. Dia telah terlalu lama menyebarkan dan memayungi hidupku dengan cinta-Nya. Jauh terlalu lama berbanding kamu.

Akhi, jangan salah erti. Selama ini, kita sudah dikaburkan oleh nafsu. Ya, nafsu syahwat yang dipimpin oleh syaitan. Kita tidak nampak segunung kebenaran, sedang ia duduknya betul-betul di hadapan kita. Mata kita telah dirabunkan oleh permainan cinta penuh dosa ini. Kita terpedaya. Ternyata kita masing-masing telah terlalu tersilap meletakkan kasih dan sayang kita. Dia adalah Allah, yang paling utama untuk kita rindu. Dia adalah Allah, yang paling pertama untuk kita berdamping dan dia adalah Allah, yang paling pertama untuk kita taati segala kemahuan-Nya.

Bukan aku, kepadamu. Dan bukan kamu, buatku.

Akhi, aku bimbang. Terlalu bimbang dan runsing, apakah Allah sedang murka kepadaku. Aku risau, Dia cemburu kerana kesilapan-kesilapan aku kelmarin. Aku runsing, Dia merajuk kerana dosa-dosaku semalam.

Maafkan aku. Aku terlalu takut jika Dia sudah tidak mencintaiku. Kerana aku tidak mampu hidup tanpa Dia, akhi. Dia cinta agungku. Lebih layak dan utama untuk aku kasihi, taati, dampingi, serta diluangkan masa bersama berbanding dengan sesiapa sahaja, baik keluargaku sendiri. Apatah lagi kamu.

Akhi, aku kesal kerana berlaku curang. Bukan curang kepadamu, tetapi kepada Dia. Dia mengasihiku tanpa henti. Dia tidak tidur di saat aku dan kamu terlelap. Dia tidak lupakanku, di saat kamu terlupakan aku. Dia tak pernah letih melayan kemahuanku, di saat kamu sudah termenung penat. Dia tak pernah bosan melayan ragamku, di saat kamu sudah berganjak menjauhiku. Dia tidak pernah berhenti bersamaku, walaupun tanpa berpapasan bersama. Kasih-Nya tanpa syarat, tanpa batas. Dia hujani aku dengan cinta, sedang modal kasihku… tiada. Tiada apa yang aku balas daripada kasih sayang-Nya.

Maafkan aku, akhi yang dihormati. Aku tahu kau akan terluka disaat membaca naskah ini. Ketahuilah, aku pun sama. Tetapi aku tidak kesal bahkan aku bersyukur dan lega kerana aku sudah tidak lagi membuatkan kamu lemas di dalam dosa akibat hubungan yang haram ini. Aku tak akan lagi melalaikan kamu, itu kegembiraanku. Alhamdulillah.

Bersama dengan ini, aku kalungkan sebuah doa kudus agar kakimu juga akan melangkah, mencari cinta-Nya. Ketahuilah, ada cinta yang perlu kita balas. Bukan cinta biasa-biasa. Cinta luar biasa bahkan, dari raja segala raja kepada hamba yang biasa.

Moga Allah ampuni dosa aku dan dosa kamu. Kerana Dia Maha Pengampun. Dia takkan menengking setiap manusia yang datang bersama segedung dosa. Di sisi-Nya, kita semua cantik jika berhias dengan ketaatan. Di sisi-Nya, kita semua akan segak jika memakai pakaian taqwa. Itu hiasan yang tersangat-sangat aku ingin miliki dan itulah pakaian yang tersangat-sangat ingin aku pakaikan. Aku mahu cantik di hadapan Dia, walaupun terpaksa menjadi si hodoh di hadapan makhluk-Nya.

Kini, aku serahkan secangkir cinta yang satu-satunya aku miliki ini kepada-Nya. Aku tahu Dia akan menerima dan aku tahu, Dia akan membalasi. Aku juga berharap engkau memberikan cintamu yang segunung permata itu kepada-Nya. Mudah-mudahan, Allah berkehendak untuk menerima pelaburan kita dan menjadikan aku sebagai gadis yang bertaqwa dan menjadikan engkau insan yang juga bertaqwa.

Buat masa ini, aku akan melupakanmu. Insya-Allah, aku tahu kamu juga akan melupakanku kerana kita sudah mencapai kata sepakat, bahawa kita perlu mencintai Tuhan yang satu. Aku tak mahu melalaikan kamu dan aku juga pasti kekasihku juga tak mahu aku mencintai selain Dia. Aku bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Terlalu kelat rasanya dosa kelmarin, hingga merembes keluar air mata ini kerana pahit yang memenjarai sendi ini. Biar hubungan ini menjadi satu kisah yang ditanam di kerak sejarah. Usah diungkit-ungkit lagi dosa kita semalam. Agar, aku dapat terus mengkagumi dan menghormatimu sebagai seorang lelaki yang akan memperjuangkan agama Allah, dengan izin-Nya. Ya, kita akan tetap bersaudara. Kini dan selamanya. Bahkan sebelum daripada kita saling mengenali lagi, kita sudah dipersaudarakan oleh Allah. Bukan hanya aku dan kamu, tapi dengan seluruh kaum muslimin.

Aku akhiri naskah ini dengan memujuk diriku dengan sebuah firman dalam Al-Quran, surah al-Baqarah ayat 165;

“Adapun orang beriman itu sangat besar cintanya kepada Allah!”

Aku mahu jadi orang beriman dan aku tahu, kamu bahkan lebih-lebih lagi mahu.

Surat ini sudah tidak perlu dibalas kerana ia ditulis dengan bahasa muktamad. Aku bahagia kerana kita akhirnya berjaya menamatkan hubungan yang berdosa ini tanpa ada azab yang Allah segerakan jatuhnya. Terima kasih, Allah. Terima kasih juga, saudaraku. Noktah di hujung ayat ini akan menjadi noktah bagi hubungan haram kita.

Wassalamualaikum warahmatullah.


No comments:

Post a Comment