Sunday, 7 October 2012

Mutah



Mutah

Musim syita dalam peralihan, hujan akan turun bila-bila waktu mulai sekarang. Aku seperti semalam, terkejar-kejar dalam lautan manusia. Biar aku berkongsi naratif ini bersama kalian, di suatu hari ketika aku dalam perjalanan ke Universiti Mutah, Mutah.

Dan seperti biasa, aku dihurung berbagai kekalutan. Ripuh Balad Mutah sering membuatkan aku lupa diri sendiri, lupa untuk memerhati. Sedangkan sepanjang perjalanan dari bait Ma’wa ke Jami’ah, aku menemui banyak kerenah manusia. 

Namun sepanjang itu, aku tidak pernah sedar apa yang tersirat di balik dinding jasad-jasad yang berjejel ke sana ke mari. Aku tidak pernah fikirkan apa yang ada di hati-hati mereka.

Pagi itu agak dingin ketika aku meninggalkan tempat berteduhku. Sinopsis perjalanku mudah saja. Dalam perjalanan ke Universiti Mutah, aku perlu singgah di Masjid Syuhada’ untuk menaiki koster. Dari situ, aku akan melalui mauqi’ peperangan Mutah untuk sampai ke Jami’ah. 

Menghirup semangat para syuhada’ peperangan Mutah dalam menegakkan panji Islam. Sehingga ke hari ini aku belum sempat berpijak kaki ke kawasan tinggalan peperangan tersebut. Sekadar memerhati dari tingkap koster semasa melintas ke jami’ah.

Tempat Peperangan Mutah

Ketika melewati kawasan tinggalan itu, aku teringat cerita seorang kakak, tentang Jaafar Ibn Abi Talib, bapa saudara nabi yang Allah berikan gelaran Jaafar Abi Tayyaar. ‘Tayyaar’ beerti terbang. Menurut kisah peperangan Mutah yang pernah aku baca,

Rasulullah mengirim surat kepada raja untuk berdakwah dan bertabligh kepada mereka. Salah satu surat beliau telah dibawa oleh Harits bin Umair yang akan diberikan kepada Raja Bushra.

Ketika sampai di Mutah, Syarahbil Ghassani yang ketika itu menjadi hakim kaisar telah membunuh utusan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sangat marah lalu menyiapkan pasukan sebanyak tiga ribu orang. Zaid bin Haritsah telah dipilih menjadi pemimpin pasukan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda, "Jika zaid syahid dalam peperangan itu, maka Jaafar bin Abi Thalib akan  menggantikannya sebagai pemimpin. Jika Jaafar juga mati syahid, maka pemimpin pasukan digantikan oleh Abdullah bin Rawahah. Jika Abdullah juga mati syahid, maka terserah kaum muslim untuk memilih siapa pemimpinnya".

Kemudian Rasulullah SAW memberikan bendera berwarna putih kepada Zaid bin Harithah dan Baginda berdoa untuk para mujahidin ini dengan doa keselamatan, kejayaan, dan agar mereka dijauhkan dari semua perkara yang buruk sehingga mereka kembali.

Doa Rasulullah SAW ini dijawab oleh Abdullah bin Rawahah dengan membaca tiga bait syair yang bermaksud,

Engkau meminta ampunan dari Tuhanmu.
Sedangkan kami menginginkan pedang yang akan memutuskan pembuluh-pembuluh darah atau tombak yang akan menusuk lambung dan hati kami
Jika nanti, orang-orang melewati kuburan kami, mereka akan berkata:
Inilah orang-orang yang telah berjuang untuk Allah. Sungguh, kalian betul-betul telah mendapat petunjuk dan kejayaan.

Pihak lawan telah menyediakan seramai dua ratus ribu orang tentera untuk menyerang kaum muslimin. Maka dengan jumlah musuh yang demikian banyak menimbulkan keraguan di dada pejuang islam samada meneruskan pertempuran melawan musuh atau kembali memberitahu baginda akan hal demikian. Kemudian Abdullah bin Rawahah ra. berkata,

"Hai kaum muslimin sekalian. Apa yang kalian takutkan?
Untuk apa kalian keluar meninggalkan Romawiah kalian?
Apakah kalian keluar ini bukan untuk mati syahid?
Kami adalah orang-orang yang tidak memperhitungkan kekuatan ataupun bilangan orang dalam pertempuran.
Kami hanya berperang agar di suatu hari nanti, Allah s.wt. memuliakan kami.
Majulah. Setidaknya salah satu di antara dua kemenangan mesti kita dapatkan. Samada mati syahid, atau menang dalam pertempuran ini".

Mendengar kata-kata tersebut, semangat kaum muslimin pun bangkit kembali. Mereka terus maju sehingga sampailah pasukan tersebut di Mutah dan mulailah pertempuran berlangsung. 

Akhirnya, Zaid gugur syahid. Maka bendera kaum Muslimin segera diambil oleh Ja'far bin Abi Thalib, kisah beliaulah yang paling menyentuh sutera kalbu jantung hati dan hempeduku. Tragis sekali. Beliau memotong kaki kudanya agar tidak terfikir untuk melarikan diri. Sambil menyerang musuh, ia membaca beberapa bait syair yang bermaksud,

Hai kaum muslimin sekalian, apakah syurga itu tidak baik?
Dan syurga itu sudah dekat
Betapa indahnya ia
Dan betapa sejuknya air dalam syurga
Telah dekat masa siksa bagi raja Romawi
Dan aku mempunyai kewajiban untuk membunuhnya.

Kerana ia adalah pimpinan pasukan kini, maka bendera itu tetap berada di tangannya. Pada mulanya, bendera tersebut dipegang dengan tangan kanannya. Tetapi salah seorang pasukan kafir telah memenggal tangan kanannya sehingga bendera pun terjatuh. 

Maka bendera tersebut segera diambil dengan tangan kirinya. Tetapi, orang kafir itu telah memotong kembali tangan kirinya. Maka ia segera didekap bendera itu ke dada dengan kedua lengannya yang masih tersisa dan digigitnya bendera itu dengan sekuat tenaga. 

Kemudian, seorang musuh dari arah belakang menebasnya dengan pedang sehingga tubuhnya terpotong menjadi dua. Ia pun roboh ke tanah, dan gugur dalam keadaan syahid. Aku terkedu mendengar kisah ini diceritakan. 

Aku tidak pernah tahu tentang peperangan Mutah sebelum ini. Alang-alang singgah berdagang di sini aku akan menelusuri sirah awwalin satu persatu selepas ini.

Setelah Jaafar syahid, pasukan tentera yang masih berbaki memanggil Abdullah bin Rawahah untuk menjadi amir yang selanjutnya. 

Ketika itu, beliau sedang berada di sebuah sudut dengan beberapa tentara muslimin, sedang makan sepotong daging kerana sudah tiga hari tidak menjamah sesuatu apa pun. Mendengar ada suara yang memanggilnya, maka dilemparnya sisa daging itu. Ia berkata memarahi dirinya sendiri,

"Hai lihatlah, Jaafar telah syahid, sedangkan kamu masih sibuk dengan keduniaanmu".

Maka ia segera maju menyerang ke depan dan mengambil bendera kaum muslimin. Tetapi, jari tangannya telah terluka berlumuran darah dan terkulai hampir putus. Kemudian jari itu dipijak dengan kakinya sendiri lalu ditarik tangannya sehingga terpotonglah jari tersebut.

Aku memejam mata sejenak meletakkan diriku di tempat beliau. Tidak terbayang pedih bukan kepalang yang ditanggung. Kemudian, jari yang sudah terputus itu dilemparkan, dia maju kembali ke medan pertempuran. 

Dalam keadaan susah dan payah seperti ini, ia merasa sedikit ragu di dalam hatinya karena hampir tidak ada semangat dan kekuataan lagi untuk berperang. Tetapi, keraguan tersebut hanya terlintas sebentar saja dalam hatinya. Ia segera berkata pada dirinya sendiri,

"Wahai hati, apa yang masih kamu ragukan, apa yang menyebabkan kamu ragu-ragu? Isterikah? Ia sudah saya talak tiga. Atau hamba sahaya yang kamu miliki? Semuanya telah saya merdekakan. Ataukah kebun? Itu pun telah saya korbankan di jalan Allah".

Setelah itu, ia membaca syair,

"Wahai hati, kamu harus turun meskipun dengan senang hati, ataupun dengan berat hati. Kamu telah hidup dengan ketenangan beberapa lama. Berpikirlah, pada hakikatnya, kamu berasal dari setetes air mani. 

Lihatlah orang-orang kafir telah menyerang orang-orang Islam. Apakah kamu tidak menyukai syurga jika kamu tidak mati sekarang suatu saat nanti, akhirnya kamu akan mati juga".

Ia segera mengambil pedangnya dan menyerbu ke kancah pertempuran melawan orang-orang kafir. Ia terus bertempur hingga mati syahid.

Jauh sekali perencah dugaan yang tertimpa pada diriku untuk aku mengeluh dan merintih berlebih-lebihan. Sepatutnya aku bersyukur selepas menikmati kehebatan ujian orang yang terdahulu dariku.

Lamunanku hilang apabila koster yang aku naiki berhenti di tepi jalan. Aku turun sebaik menghulur duit tambang kepada pemandu. Dari tempat perhentian koster, aku akan berjalan kaki sekitar lima minit untuk sampai ke perkarangan Universiti Mutah. 

Sungguh saat itu aku begitu bersyukur berpeluang merasa nikmat berdendang di sini.  Aku harus merasa diri sendiri istimewa kerananya. Pantas sahaja aku dititipkan di sini…

Aku dan Kau adalah keajaiban alam yang terbesar. Aku dan kau telah diberi mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Aku dan kau semakin mengerti semua masalah, kekecewaan, kesakitan jiwa dan seumpamanya adalah peluang-peluang besar yang datang dalam rupa yang berbeza. 

Bahkan semua itu hanyalah sedikit ujian yang ditimpakan berbanding manusia-manusia lain.

Tidak ada binatang atau tumbuhan melata, tiada batu batan atau tasik yang diciptakan sama seperti kita. Aku dan kau dikandung di dalam kolam cinta dan dilahirkan untuk matlamat yang istimewa. Aku dan kau sering melupai akan hal itu sebelum ini. Tetapi, mulai saat ini kita akan membimbing hidup ke arah menyempurnakan sebuah aspirasi.



No comments:

Post a Comment