Friday, 13 September 2013

Harga secawan air

Assalamualaikum people! 

"Air naik!"

Memang setiap minggu inilah rutin kami. Menunggu air naik ke tangki. Sudah seminggu air tak datang. Bukan minggu ini sahaja, malah setiap minggu. Kehidupan di Jordan pada musim panas memang memeritkan. Keperitan itu pelbagai, namun yang kami bimbangkan ialah masalah kekurangan air. 

Tidak dinafikan cuaca pada musim panas di Jordan, memang panas dan terik. Ada kalanya mencecah 45 darjah celcius. Apabila kami ke kelas, mata terpaksa dipejam kecil kerana tidak berupaya menahan silau matahari. Segera masuk ke kelas, segera pulang ke rumah. Panasnya tidak terkata.

Mata terpaksa dipejam kecil


Setiap kali menjelang musim panas, kami menanti kedatangan hari Jumaat. Awal pagi, air akan naik ke tangki secara mingguan, dan sepanjang hari aktiviti kami akan berkaitan dengan air. Pada hari itulah kami semua akan membasuh kain, membersihkan rumah, mengisi botol-botol dan puluhan tong simpanan air, malah ada kalanya membasuh pinggan mangkuk yang berhari-hari terbiar kering tidak berbasuh. 

Malah apabila makan berjemaah di dalam talam, talam itu akan dilapik dengan plastik agar talam tidak kotor. Habis makan, buang saja plastik tersebut. Itu tradisi makan di sini. Memasak pun kena kurangkan minyak, agar tidak susah mencuci periuk. Semua kerana air!

Cukup di kenang, sewa rumah pun ditentukan berapa besar saiz tangki rumah yang akan di sewa. Jika besar tangkinya, tinggilah nilaian sewa yang ditetapkan. Suatu yang tak dapat di bayangkan di negara seperti Malaysia. 

Selama berada di Jordan, kami mesti meninggalkan tabiat 'hantu air' yang ada pada kebanyakan pelajar Malizi. Pelajar baru sentiasa diingatkan supaya tidak menyakitkan hati pelajar senior dengan perbuatan mandi berkali-kali setiap hari, atau membasuh baju sesuka hati, kerana semuanya ada peraturan yang tersendiri. 

Belajarlah untuk tidak mandi tiga atau empat kali sehari. Kalau boleh, biar yang wajib-wajib sahaja! Adakalanya kami hanya mandi dengan sebotol air 2 liter sahaja. Wuduk usah dikira, secawan sudah memadai.

Mungkin perit dan derita benar bunyinya. Tapi alah bisa tegal biasa. Selepas setahun hidup di Jordan, pengalaman itu adalah kebiasaan yang kami tempuhi dengan tenang. Barulah terasa benar hikmah kenapa islam menggalakkan lelaki yang sudah aqil baligh untuk mandi pada hari Jumaat. Ia hanya dapat dihargai apabila kita tinggal di negara seperti Jordan, di mana sekurang-kurangnya seminggu sekali, setiap lelaki akan berusaha untuk mandi. 

Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Baginda SAW pada suatu ketika, melintasi Saad ibn Abi Waqqas r.a yang sedang berwuduk dengan menggunakan air yang banyak. Lalu baginda bertanya, "Mengapakah dengan pembaziran ini?" Saad menjawab, "Apakah di dalam soal berwuduk juga dikira pembaziran?" Baginda menjawab, "Ya, (membazir tetap membazir), walaupun kamu berada di sungai yang mengalir."

Riwayat Ibn Majah. 

Saya jarang sekali berjumpa dengan orang arab yang was-was dengan wuduk. Hampir tidak pernah saya ketemu dengan orang arab yang berbasah lencun ketika berwuduk. Keadaan kekurangan air begini telah menyempitkan ruang ke arah itu. Malahan kami biasa memelihara wuduk untuk solat hingga ke waktu seterusnya. Jika di musim panas, biasanya kerana kekurangan air. Jika di musim sejuk, kerana tidak sanggup meratakan air ke anggota wuduk dek kesejukan yang amat sangat. Indah terasa bila diri kita ini sentiasa dalam keadaan berwuduk. 

Saya sudah pun biasa berwuduk dengan secawan air!


No comments:

Post a Comment