Tuesday, 11 February 2014

Tamu Haramain part 2

Assalamualaikum people! 

Hotel tempat kami menginap semasa di Mekah. Agak jauh dari Masjid. Ada perkhidmatan bas.
29 January 2014 lebih kurang jam 2.00 pagi kami tiba di Hotel Al khashfil Masi di Mekah. Check in seramai empat orang sebilik, sejurus tiba di bilik, kami bergilir ke toilet dan memperbaharui wudhu'. Dalam video yang kami tengok disarankan berwhudu' taqlid mazhab hanafi supaya wudhu' kami tidak batal jika tersentuh yang bukan mahram (tanpa syahwat). 

Di dalam masjidil haram jam 3.44 a.m. Mereka menghidupkan masjid.

3.44 am kami di bawa memasuki Masjidil Haram. Kilauan lampu yang menyala di sekitar Masjid benar benar menjadikannya kelihatan gah! Alahai inilah Masjidil Haram. Allahu Akbar! Kaki kami menjejak Tanah Haram. Hamdan Lillah. Segala puji bagiMu Ya Allah. Masjid yang tersergam indah ini meraikan tetamu Allah, diri yang hina dan penuh dosa ini berpeluang melangkah masuk. Besar ya amat. Walaupun jam 3.44 pagi namun manusia yang bergelar hamba masih memenuhi ruangan masjid. Banyak. Inilah dia hamba-hamba yang datang dari seluruh pelusuk dunia, datang untuk mengabdikan diri kepadaMu wahai Sang Pencipta. Datang sebagai tetamu untuk mencuci karat jahiliyyah masa lalu, datang untuk meminta terhapus dosa dosa agar kami bisa kembali kepada dengan tenang dan damai. Tuhan...

Hasrat kami apabila di Masjidil Haram untuk terus menyelesaikan tawaf dan saie seterusnya bertahallul supaya tidak lama berada dalam tempoh berihram. Bukan apa, bimbang melanggar pantang larangnya. Untuk membayar dam, kami tidak berduit banyak. Seekor kambing mahal juga. (sekadar berhati-hati) 

Memandangkan azan subuh akan berkumandang sekejap sahaja lagi, kami dinasihatkan untuk duduk di dalam Masjid dahulu solat subuh, kemudian akan terus tawaf tujuh kali. Tawaf kali pertama kami dipandu oleh seorang ustaz (pelajar jamiah mutah). Pun begitu kerana kesesakan dan orang banyak kami tetap tersesat tersalah ikut orang, sudahnya kami tawaf sendiri-sendiri sahaja. 

Solat subuh pagi itu sayu. Tapi bersemangat kerana kami baru tiba, di dalam Masjid kami berbual dengan seorang mak cik yang menunaikan umrah juga, dari Johor dan katanya hari ini hari terakhir baginya. Semoga selamat kembali. Dalam pada itu, saya meninjau-ninjau juga kalau-kalau terserempak dengan orang kampung. Tak dapat balik kampung, dapat jumpa orang kampung pun jadilah. 

Selepas solat subuh, kami berempat terpisah. Tinggal berdua-duaan sahaja. Maka kami teruskan tawaf. Saya dan Umairah bedua. Atikah dan Najihah berdua. Di sinilah kisah kami bermula kerana ragamnya ada di sini. 

Nak cari tempat tawaf buat kali pertamanya, bukan mudah. Berselit-selit dengan orang banyak yang berpusu-pusu melaksanakan tujuan masing-masing. Akhirnya kami sampai ke tempat tawaf bermula, di garisan lampu hijau. Pusingan kali pertama, buku kecil di tangan saya. Masih sempat saya melihat bacaan untuk pusingan kali pertama dan mengulang-ulang doa tersebut hingga sampai ke pusingan kedua dengan bacaan doa seterusnya dan pusingan ketiga dan bacaan doa seterusnya. 

Kali pertama tawaf kami tawaf di tingkat bawah. Penuh dan sesak di bahagian hajar aswad. Bismillahi Allahu Akbar! Bagi jemaah yang datang berkumpulan, ada ketua yang membaca doa dengan nada kuat, seterusnya dia diam, dan diikuti oleh jemaah di dalam kumpulannya. Adakala sampai saya sendiri terikut-ikut. Terbayang di ruangan mata untuk memenuhi hasrat atuk yang pernah ingin kembali ke sini untuk menunaikan umrah dan haji. Tapi emak bimbang kalau atuk tak larat nak jalan dalam kesesakan begini. Yang saya bayangkan adalah untuk memimpin atuk, atau paling mudah menolakkan roda untuk atuk. Ya saya sanggup! demi atuk. Tapi atuk saya masih sihat dan boleh jalan sendiri tanpa dipimpin. Cuma saya bimbangkan dia. 

Selesai tawaf, kami solat dua raakaat di sekitar makam nabi Ibrahim a.s. Kami minta apa saja yang kami inginkan. Tapi kesesakan itu benar-benar menjadikan kami terhadkan doa masing-masing. Dan pegawai yang menjaga kawasan itu pun sibuk menghalau jemaah yang berdiri, lalu kami beredar dan minum air zamzam sepuasnya. 
Dengan kelibat manusia yang senantiasa keluar masuk, kau akan rasa betapa susahnya nak solat di hadapan makam Nabi Ibrahim




Selesai tawaf dan solat sunat
Kami langsung tak jumpa Najihah dan Atikah. Walaupun berdua kami teruskan juga ke tempat saie. Kami cari sendiri, memang tak jumpa siapa pun yang kami kenal. Entah mereka sudah siap tawaf atau belum pun kami tak tahu. Kami teruskan langkah dengan perut kosong untuk tujuh kali saie dari safa ke marwa. Selesai saie, kami bertahallul. Alhamdulillah selesai umrah pertama kami. Allah Maha Besar.

Tempat saie. Di kawasan lampu hijau itu adalah kawasan di sunatkan bagi kaum lelaki untuk berlari-lari anak (ramal)


Kami duduk berehat seketika di batu batu yang ada di marwa. Cantik. Bergambar beberapa keping kemudian terlihat kelibat ustaz yang bawa kami ke masjid awal pagi tadi. Bersamanya ada beberapa orang akhawat lain yang turut sama siap bertahallul. Sayangnya Najihah dan Atikah tidak kami temui. 

Batu di hujung Marwa. Kami berdoa di sini.
Ni kira muka penat gila dah ni. Serkup kepala pon senget benget.


Kemudian ustaz bawa kami untuk mencari makanan kerana kami tidak menjamah nasi sejak semalam. Sebelum makan, ke bank untuk keluarkan duit. Sistem maju, kad kami dari Jordan ini antarabangsa dan masih mampu mengeluarkan duit dari sini. Alhamdulillah.

Lepas keluarkan duit, perasan tak perasan ustaz dan akhawat yang lain hilang dari pandangan mata kami. Ah semua berlaku sekelip mata. Tinggallah saya dab Umairah terkebil kebil mencari hala tuju. Kedai banyak tapi yang murah entah yang mana. 

Akhirnya kami buat kepala sendiri, kami wanita berkredibiliti harus bisa bertindak walaupun tanpa lelaki. Eceh! Konon begitulah sebab sesuap nasi itu jarang sekali datang bergolek bahkan belum ada. Itulah tujuan kami sekarang. Nasi! 

Mall mewah inilah sahaja yang kami pilih. Patutlah mahai semua harga.Tapi apakan daya kaki sudah tak sanggup bergerak jauh. Letih dan pedih perut menanti.
Akhirnya kami naik ke mall di sekitar masjid, makan nasik beriyani. Sebungkus 30 riyal. Berpandangan sesama sendiri. Kegilaan apakah ini? saya fikir kehidupan di Jordan sudah cukup tinggi mata wangnya namun nasi baru dua dinar, lebih kurang sepuluh ringgit. Tapi di sini 30 riyal is equal 30 ringgit. Tiga kali ganda. Okay itu tidak menjadi persoalan panjang sebab perut kami benar-benar meminta minta. Tiba-tiba teringatkan kata abah nasi arab di sana 15 riyal tapi boleh kongsi. 

Inilah nasi beriyani bersama separuh ayam 30 riyal. Nampak sedap kan? Bagi saya nasi di Jordan yang dua dinar lebih sedap rasanya sebab dari air tangan orang arab sebenar. Ini bukan orang arab yang masak, tapi india musleem. Kira beza la rasa dia sebab ciplak. hehe



"Abah, 30 riyal hari ini adakah kerana berubahnya zaman?" Saya terkedip-kedip. 

Selepas makan kami belikan satu bungkus lagi nasi untuk Atikah dan Najihah untuk dibawa pulang. kami solat zuhur di masjid kemudian kami melangkah keluar masjid untuk balik ke hotel. Malangnya tak ada sesiapa pun yang kami temui untuk ikut jejak ke hotel. Nama hotel pun kami samar-samar sebab keluar subuh itu masih gelap dan saya cuma ingat perkataan "si" saja di belakangnya. Jalan pulang kami juga salah. Dari masjid ada banyak cabang jalan. Jadi kami belum arif jalan mana satu untuk kami pilih. Hentam sajalah. 

Saya buat pengakuan paling jujur di sini, saya adalah seorang yang paling lambat menghafal jalan dan memngingat tempat serta mengenal orang. Itulah kelemahan saya. Jadinya sesat adalah perkara biasa bagi saya. Salah mengenal orang pun sudah sebati dengan diri saya. Hari ini saya tengok 'A'. Esok lusa kalau saya jumpa 'B' boleh jadi saya katakan itu 'A'. 

Excuse me! Saya bukan nyanyuk tapi saya memang lambat mengecam orang dan mengingat tempat! Sodih botui! (last day dengar housemate skype dengan family dia cakap bahasa negeri sembilan) Kalau bab taqlid bahasa orang, saya cepat saja. Ngeee!

Dah jauh jalan kaki, kami akhirnya sedar bahawa kami sesat. Tahan teksi dan minta dia bawa kami cari hotel. Tak jumpa! Akhirnya kami minta dia bawa kami balik ke masjidil haram. Tempat paling selamat.

Dan saat ini, baru saya akui kepentingan mahram/lelaki dalam hidup wanita. Yes! Walau sehebat apa pun engkau, sepandai apa sekali pun engkau, sebijak mana pun engkau, selamanya engkau tidak akan dapat menafikan kepentingan lelaki dalam hidup wanita. Itulah yang saya fahami sejak sesat pertama kali di sini. 

Teringat pesan emak, jangan naik teksi melainkan ada kawan lelaki. Emak memang pantang kalau saya ke mana-mana dengan teksi. Dia bimbang anaknya ini dibawa lari. Kata abah, "Biarlah dia, dia pandai baca, pandai cakap arab. Tahulah dia bawa diri." Kata-kata abah buat saya tersenyum. Tapi apakan daya kami cuma berdua. Kedua kami perempuan. Kami sesat dan tak mampu lagi berjalan tanpa haluan. Terpaksalah berteksi. Sebaik saja teksi tersebut menurunkan kami di masjid, dua puluh riyal katanya. Mahal benar!! Pasrah dalam sendu. Perjalanan tak jauh mana. Itu jugalah padah jika tiada mahram bersama. Upah tanpa meter. 

Sekali lagi kami mencuba arah jalan yang satu lagi. Jauh juga kami telusuri dengan berjalan kaki. Sumpah kaki saya sudah sakit bukan kepalang. Rasanya lebih berbaloi kalau kami tawaf kaabah dari berjalan tanpa tahu arah yang benar. Akhirnya kami patah balik naik ke masjid untuk solat. Hasrat kami untuk balik selepas solat isyak bersama siapa siapa sahaja yang kami temui dari kalangan kami sendiri. Sebelum masuk ke masjid, jumpa ustaz pagi tadi, terus kami tanyakan jalan pulang ke hotel. Dia bagi kami kad hotel dan katanya tunggu di depan jalan besar, akan ada bas. Lega! 

Selepas solat Maghrib, hati saya sayu yang amat sangat kerana setiap kali selesai solat fardhu, akan diikuti solat jenazah. Setiap waktu bahkan! Saya adalah bakal jenazah. Itu kenyataan yang pasti! Saya menangis sambil membaca surah taubat. Entahlah kenapa tapi hati saya benar-benar ingin menangis lebih-lebih lagi apabila melihat maksud ayat ayat itu. Ya Muhaimin, kami bertaubat dengan taubat nasuha. Terimah taubat kami kerana Engkaulah penerima taubat. Kami mahu jadi orang yang memakmurkan masjidMu.

Sebelum isyak, Atikah datang menegur kami, Alhamdulillah jumpa sudah teman kami. Bertiga! Najihah mamnu' (uzur syarie) tapi setelah selesai bertahallul. syukur umrah terlaksana juga. Selepas isyak, kami balik kerana sudah terlalu keletihan yang amat sangat. Nasi bungkus yang kami beli untuk Najihah dan Atikah tadi dibawa balik ke hotel dan kami makan berempat. Cukup sebab 30 riyal tu nasiknya banyak. Alhamdulillah. 

Malam itu kami tidur dengan lena. 

Inilah kisah kami di Haramain, di mekah hari pertama. 

To be continued... 

No comments:

Post a Comment