Tuesday, 30 December 2014

kehidupan kedua bagiku

Assalamualaikum people! 

Aku sebenarnya hidup balik.

Semalam aku masih hidup walaupun sangkaanku, aku sudah tiada lagi. Ternyata kuasa Tuhan mengatasi segalanya. Aku syukuri nikmat itu dan meresapi kurniaan ini sedalamnya, Tuhanku. Hari bahagiaku semalam, masih aku nikmati kerana rahmatMU. 

Kejadian yang aku takkan lupakan dalam hidup aku. Lebih kurang tiga bulan lebih dah kejadian tu berlaku pada aku. Memandangkan aku hidup balik, aku kisahkan cerita tu di sini. Kalau bukan kau yang akan peduli, aku yakin ada orang lain yang akan terkesan dengan kisah aku ni. 

Petang itu, lepas solat asar berjemaah dengan seorang housemate, kami berwirid sikit sebelum baca doa, kira itu jadi amalan kami kat sini setiap kali lepas solat jemaah. Syukur, semua tu kami buat dengan hati lapang sebab kami dah diajar cara cara berdakwah dan bagaimana menyampaikannya. Kisahnya bermula masa tengah berwirid tu, kalau tak salah aku masa tengah baca ayatul kursi tiba-tiba aku terdiam, kawan di sebelahku terus menoleh dan turut diam lalu bertanya, "kenapa?".

Aku kaku. Aku cuak. Aku rasa ada getaran berlaku pada tubuhku. Getaran tu buat hatiku berdenyut kencang. Tubuh aku menggeletar. Aku betul-betul terpinga-pinga masa tu. Getaran tu sekejap je. Lepas getaran tu hilang, kami teruskan doa. Dan masa tu aku ceritakan pada kawanku apa yang aku rasa tadi. 

Aku masih terpinga-pinga. Aku ingat lagi beberapa bulan yang lalu aku pernah tengok satu cerita tajuk dia '100 hari tanda kematian'. Dan getaran yang menimpa aku tadi mengingatkan aku tentang itu, mati. Kalau memikirkan soal mati apalah kudrat kita menghalang kuasa Tuhan yang Maha segala galanya. Aku jadi lemah.

Aku sedih, bermula dari kejadian itu aku mula menghitung hari. Aku download aplikasi countdown di henpon dan set tarikh seratus hari dari hari tersebut. Masa tu kira aku fikir baki seratus hari ni aku nak jadikan hari paling baik la sebelum aku pergi. Yang tu ja aku ingat. Aku sentiasa call mak. Takut tak sempat. Aku jaga mutabaah amal. 

Aku solat sekhusyuk mungkin. Aku berzikir sekerap masa. Aku bertaubat setiap hari. Aku istiqomah baca al quran. Aku jaga solat tahajud. Aku hitung hari demi hari untuk berdepan dengan tarikh yang ke seratus. Kadang-kadang, aku bercakap juga soal mati. Aku fikir juga, inikah tandanya?


Aku cuba buat terbaik untuk kawan-kawan serumah, aku layan sebaik mungkin, aku rajinkan diri memasak, sekurang kurangnya kalau aku pergi, aku dah berlaku baik pada mereka. Aku hitung hari nak jumpa keluarga, tapi nyata tarikh yang seratus itu akan datang lebih dulu. Pilu. Aku terfikir-fikir juga bagaimana nanti cara aku mati? Baikkah? Seramnya. Aku menangis dalam solat, minta panjang usia, minta thabat dalam jalan cinta Tuhan. Aku ingin bertemu keluarga. 


Hari berganti. 50 hari berlalu. 40 hari berlalu. 

Satu hari, aku ziarah ke rumah kawan, di biliknya ada tulis di papan, "bertemu keluarga belum tentu, bertemu Tuhan itu pasti!" Aku sentap lagi. Memikirkan soal mati itu memang meningkatkan iman. 

Aku mula mencatat semua urusan yang melibatkan hutang, hal hal puasa, hal hal yang tak tercapai, perkara perkara tak lunas, semua aku tulis dalam satu buku. Aku simpan, kemaskan. Kemuadian aku beritahu pada seorang kawan, andai kata, sesuatu terjadi padaku, aku minta dia cari buku itu dan serahkan pada keluargaku untuk selesaikan semua. Lebih kurang macam wasiat pula. 

Dalam fatrah berbaki tu, banyak cerita pasal mati datang ke otak fikiranku, bekas murabbiku pernah juga bercerita pasal mati. Seingat aku, katanya dalam perjalanan nak pergi usrah, dia hampir dilanggar sebuah kereta. Nyaris benar dilanggar. Cuma kereta tu sempat break mengejut dan berhenti tepat tepat di hadapannya. Dia memejam mata, berderau darah. Tapi mujur masih selamat, masih hidup. 

Padahal sebelum keluar rumah tadi dia diselubungi rasa malas untuk pergi usrah, perasaan yang tak sepatutnya dilayan oleh seorang daie. Lalu dia pergi dalam rasa acuh tak acuh. Dalam perjalanan, hampir dilanggar. Katanya lagi, bayangkan kalau dilanggar dan mati. Bagaimana matinya? Niatnya tadi ke usrah dalam bermalas malasan. Cepat-cepat dia beristighfar. Mohon ampun. 

20 hari berbaki. Tapi tanda hari ke 40 aku tak jumpa. Tak jumpa atau tak perasan, aku pun tak pasti. Sama juga tanda hari ketiga dan hari terakhir. Hinggalah sampai hari terakhir. Aku selalu juga berjaga jaga kerana takut maut menjemput tiba tiba. 

Tapi seiring berlalunya hari yang aku takutkan itu, aku kini masih bernyawa. Masih diberi nafas nafas segar untuk aku hargai. Alhamdulillah 'ala kulli hal. 

Moga moga kehidupan kedua ini akan buat aku makin peka dengan detik detik masa yang berlalu, agar tak lagi sia sia. 

Ampunkan aku Tuhan. 

Sekian. 

No comments:

Post a Comment