Burung besi pertama itu
yang bawa aku terbang jauh dari keluarga tersayang dan tanah air tercinta
bersama teman-teman UniSZA yang lain. Di awal usia 21 tahun aku melangkah ke
Timur Tengah. Suatu tempat yang pernah menjadi angananku di bangku sekolah. Jika
dulu aku hanya mendengar cerita tentangnya. Kini aku sudah berpijak nyata dengan dua kaki sendiri. Syukur atas kurniaan
besar ini.
Pada tanggal 9 September
2012 aku memeluk erat tubuh emak dan abah di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur sebelum berlepas untuk bermusafir. Aku mencium tangan emak dan
abah buat kali terakhir sebelum meninggalkan mereka untuk suatu tempoh yang aku
sendiri masih tidak pasti berapa lama. Cuma yang aku harapkan adalah dua tahun
tanpa lebih. Aku menerima kunjungan
teman-teman seperjuangan dari UniSZA di airport. Kalian, aku sangat terharu.
Cukup terharu. Terima kasih kawan-kawan. Kalian sedikit sebanyak telah memberi
kekuatan pada aku untuk terus melangkah. Aku tidak menangis saat kita berpelukan.
Aku malah ceria. Aku sangka aku kuat. Tapi saat doa selamat diaminkan aku mula
berderai dengan air mata. Saat salawat ke atas nabi dialunkan aku jadi serba
tak kena. Aku menahan esak dalam diam. Seingat aku sebelum melangkah masuk ke
pintu burung besi itu, aku sempat membuat panggilan pada kakak. Aku katakan aku
sudah mahu berangkat. Aku menangis di talian. Mendengar suara kakak, aku tahu
dia juga sedang menangis.
Di dalam pesawat aku
menikmati pemandangan di luar tingkap. Rasa kurang percaya aku sudah terapung
di atas udara. Indahnya dunia ini dicipta. Sudah tentu Penciptanya jauh lebih
indah dari apa yang diciptakannya. Aku jadi kagum. Permusafiran paling panjang
seumur hidup aku. Aku tidak tahu apakah memilih belajar di Jordan ini adalah
keputusan yang tepat atau tidak. Yang aku pasti aku sudah seringkali
mengingatkan diri bahawa perjalanan ini pasti sukar dan mencabar. Aku yakin di
sini ada sensasinya sendiri. Bahkan aku pernah minta diri sendiri berjanji
untuk tidak menitis air mata sepanjang berada di sini. Tapi aku tidak mampu
mengotakan janji yang aku buat sendiri. Aku menangis setiap kali bersendirian di bilik. Air mata
akan tumpah dan bunyi esakan menjadi lagu hati yang tidak mampu kupujuk sejak
dahulu hingga kini.
Sebelum mendarat di Lapangan
Terbang Amman, Jordan, aku bersama teman-teman telah berlabuh seketika di
Lapangan Terbang Bangkok. Sempat juga aku mundar-mandir di kawasan berhampiran.
Memerhati cahaya lampu neon yang menyala. Cantik. Ingin rasanya menjelajah
seketika di situ. Pagi itu, ketika Royal Jordanian melepaskan sekelompok
imigran keluar dari pesawat, aku salah seorang yang berpusu-pusu di celah-celah
manusia. Sambutan dari pelajar senior membuat aku teruja. Hebat. Terima kasih
abang-abang dan kakak-kakak. Aku menerima lambaian bumi Urdun. Indah.
Aku
melepaskan keluhan. Menarik nafas puas. Di sini kami berbagi. Yang ke Yarmouk
akan ke Yarmouk. Yang ke Mutah akan ke Mutah. Di sini aku akan memulakan titik kehidupan
baru. Titik yang
akan membias menjadi warna bagi kehidupanku. Satu titik
yang akan bercabang menjadi seratus jalur cerita. Satu titik yang akan melukis
seribu rasa di jiwa. Satu titik yang akan berpecah dan menghurai sejuta
wajah dunia. Titik itu akan bermula di sini.
Kunjungan ke
sebuah destinasi yang akan menjadi tempat aku menumpang untuk suatu tempoh masa
tertentu. Aku akhirnya terdampar di sebuah perkampungan yang aku kenal sebagai
Mutah. Di sinilah aku mula berdikari. Aku tinggal bersama 5 orang pelajar
sepertiku yang masing-masing datang dari pelusuk negeri yang berlainan. Di
sinilah kami membina ukhwah. Di sini kami berkongsi suara, tawa, suka dan duka.
Semua cabaran di atasi bersama.
Seminggu
pertama aku masih kuat mengharung hidup di sini. Seminggu kedua, dugaan silih
berganti. Dengan keadaan rumah yang serba kurang. Tambahan pula ahli baitku semua
akhawat. Masalah paip air. Lampu yang tidak menyala. Selak pintu yang sudah
tidak kukuh. Bil elektrik yang tertunda oleh penghuni sebelum kami. Mujurlah
rumah kami berjiran dengan hamba Allah yang berhati mulia. Semua benar-benar
menuntut kesabaran yang tinggi.
Ketika sesi
kuliah bermula aku sekali lagi menghadapi masalah mengeluarkan wang dari mesin
ATM untuk melunaskan rusum jami’ah. Pengaktifan oleh pihak bank di Malaysia itu sepatutnya aku pastikan betul-betul sebelum berangkat. Semua buat aku sangat-sangat tertekan. Tapi
seperti sedia maklum. Tak ada masalah yang tak dapat diselesaikan. Tidak cukup
dengan itu, kami pelajar-pelajar dari UniSZA masing-masing dikejutkan dengan
masalah hazaf madah. Sehingga sekarang aku dan kawan-kawan masih belum boleh
hazaf madah lagi. Ya Tuhan kami. Mudahkanlah urusan kami.
Di sini aku
benar-benar belajar berdikari. Aku tak ada lagi tempat bermanja-manja seperti
selalu. Aku tinggalkan Aishah dan Noha kerana perjuangan ini. Dan di sini aku
belum menemui kegembiraan bersahabat sebagaimana aku pernah menikmati indahnya
bersahabat dengan kalian. Bukan bermakna aku tidak ada sahabat. Cuma beza
kalian bila kita tak pernah lekang untuk keluar kemana-mana sentiasa bertiga.
Sehinggalah kita selalu merasa tidak lengkap kalau tidak bertiga. Aku selalu
merindui masa-masa yang aku habiskan bersama mereka dulu. Ya Allah. Ampunkan
dosa-dosa kami dalam bersahabat. Kami saling menyanyangi. Bantu kami menjaga
persahabatan ini hingga hujung nyawa. Hinggalah suatu hari aku tersalah meredah
kelas. Aku terlewat hampir 15 minit kerana membeli buku di maktabah. Jadual
kelasku adalah markaz lughah tapi aku termasuk ke kelas syariah. Untung nasibku
dokter izinkan aku masuk. Bila aku sedari aku tersalah kelas, aku sudah tidak
sanggup melangkah keluar. Dengan rela hati aku tunggu sehingga kelas tamat.
Malu bukan kepalang. Dan saat ini aku hanya fikirkan kalian. Kalaulah kalian
ada bersama, aku tak akan meredah kelas seorang diri begini.
Dan biasanya
di dalam kelas aku tidak memahami apa yang di ajar dokter. Jika yang
dibicarakan dua jam, aku tidak tahu apa yang aku dapat dengan dua jam itu. Cuma
yang aku tahu aku akan masuk kelas mengikut jadual. Aku akan keluar bila kelas
tamat. Aku tidak ponteng. Aku hadirkan diri walaupun aku tidak faham apa yang
diajarkan. Pernah juga aku merasa sia-sia kerana aku tidak mendapat apa-apa
dari apa yang aku ikuti. Pernah aku mengenangkan bayaran yuran yang berganda
nilainya berbanding pelajar-pelajar arab dan pelajar-pelajar sobahi. Kerana aku
seorang pelajar tajsir. Namun aku tetap sedar bahawa aku hanya tetamu di sini,
yang harus disisih beberapa hak dan autoriti. Aku jadi sabar.
Cuma, apa yang
buat terkilan adalah skill pengajaran para murabbi yang belum dapat aku kuasai.
Inilah nilaian berharga yang sangat-sangat aku perlukan untuk aku kongsi dengan
penduduk tanah air sendiri suatu hari nanti. Jika aku sendiri tidak dapat
menguasai apa yang disampaikan oleh para murabbi, bagaimana nanti aku akan menyampaikannya?
Sedih bukan? Tiba-tiba aku jadi ingat pada ustaz Talib. Aku sangat suka cara
dia mengajar.
Dari itu aku
minta kelas dengan senior-senior untuk membantu sedikit sebanyak yang mereka
tahu tentang madah-madah tertentu. Pun begitu, aku tetap memaklumi akan
kesibukan senior-senior di sini. Memang jarang dapat buat kelas. Biasanya
madah-madah yang berat sahaja. Akhirnya aku tercungap-cungap sendirian merenung
kitab. Aku hampir berputus asa. Makin hari terasa semakin lemah. Namun,
kegigihan teman-teman serumah buat aku bangkit kembali. Aku tidak boleh
berputus-asa. Ini jalan yang aku pilih. Aku perlu berjuang untuknya. Aku
teringat janji dan cabaran dari seorang sahabat yang mahu bertaruh denganku
untuk sama-sama memperoleh mumtaz sebagai natijah dalam imtihan. Aku tidak tahu
kenapa aku bersetuju dengan pertarungan itu sedangkan dia pelajar sobahi dan
aku pelajar tajsir. Madah yang dia ambil hanya 3 manakala madah yang terpaksa
aku bawa adalah 6. Dia pelajar fakulti usuluddin dan aku pelajar fakulti adab. Semua
orang sedia maklum akan syadidnya murabbi-murabbi fakulti adab. Barangkali
pertaruhan itu dibuat seawal tiba di sini. Waktu aku aku belum teruji. Waktu
itu aku penuh dengan semangat serta azam.
Biarpun
setelah menyedari ketidakadilan keadaan yang aku dan sahabatku itu lalui, aku
tak mungkin jadi manusia yang menarik diri di pertengahan jalan. Aku akan usahakan
walaupun aku sangat menyedari peluang untukku meraih mumtaz adalah sangat
tipis. Dan dari persetujuan bersama, kami telah sepakat. Siapa yang memperoleh
mumtaz, dia harus belanja makan ayam. Aku sudah sangat bersedia untuk dapat
makan ayam free.
Masih segar
dalam kotak memori dengan nilai markah yang aku perolehi untuk setiap madah
dalam imtihan awal dan thani. Memang buat aku kecewa. Ada madah yang aku tidak pernah
mendapat markah sebegitu selama ini seingat aku. Tapi di sini aku seolah-olah
seorang kanak-kanak tadika yang tidak mengerti apa-apa. Memang aku kecewa.
Mungkin aku masih terkejut dan belum terbiasa dengan suasana di sini.
Perlahan-lahan aku akan menemukan keserasian.
Dan pada suatu
hari, aku menerima satu panggilan dari seorang teman yang mengadu hal yang sama.
Dia turut kecewa dengan peperiksaan sebagaimana aku. Hingga kami mempersoalkan
adakah tindakan kami tepat memilih untuk sambung belajar di sini. Tiada
jawapan. Tapi ada pepatah mengatakan ‘alang-lang mencelup pekasam biar sampai
ke pangkal lengan’. Kami baru mencelup di hujung jari. Tidak wajar lagi untuk
mengeluh itu dan ini. Pada minggu study week, aku habiskan masa di maktabah
seorang diri. Dan apabila tiba masanya imtihan bermula, aku menduduki paper
pertama dan kedua dengan ketenangan dan kegusaran yang bercampur.
Sebelum sempat
aku menghadapi paper ketiga, salji turun. Hasilnya. Imtihan ditunda. Aku sibuk
meraikan kedatangan salji. Dan bila peperiksaan bersambung aku langsung tidak
ada semangat peperiksaan. Hilang. Kini sudah hampir 5 bulan aku berdendang di
perkampungan Mutah ini. Cepat benar masa berlalu. Semakin hari rinduku semakin
bertunas untuk bertemu keluarga di Malaysia. Ku harap suatu hari nanti rindu yang
semaikan ini akan berbunga malah berbuah segar untuk aku bawa pulang menemui
warga khatulistiwa di seberang sana. Biar mereka rasakan keaslian kerinduan
yang aku pelihara sejak hari pertama barlabuh di sini hinggalah sampai masa
bertemu kembali. Setelah keputusan imtihan di keluarkan aku angkat dua tangan
melafazkan kalimah syukur kerana aku lulus semua madah. Itulah yang aku mahu! Semenjak aku mendarat di bumi syam
ini, aku sudah merasai sendiri bagaimana yang dikatakan musim syita dan
bagaimana rasanya bermain dengan salji. Semuanya masih seperti sebuah mimpi
indah.
Dan kini aku
sedang menghabiskan masa cuti semester pertama di rumah. Aku tidak jaulah ke
mana-mana. Bak kata orang ‘jaga Mutah’. Jaulah UniSZA dibatalkan oleh sebab
unit jaulah bercuti di Malaysia untuk urusan pernikahan. Kalau ada rezeki, lain
kali saja aku menjelajah bumi Jordan dan seisinya. Sepanjang 5 bulan ini aku
mula sedar, soal susah, soal payah, merupakan lumrah kehidupan. Aku kan anak
rantau? Manakan sama dengan anak watan yang boleh sering berdamping dengan ibu
bapa. Merantau kan ertinya membawa diri. Bermakna aku harus menanggung apa jua
dugaan dan rintangan sendiri.
Beberapa kali jugalah aku merintih bila mengenangkan
aku ini adalah anak yang terasing jauh dari keluarga. Aku pernah berduka waktu jasad
ditimpa sakit. Pernah juga hatiku menderita waktu diuji oleh kesetiaan dan
badai cinta kuat menderu. Siapalah yang sedar bahawa aku sedang diserkup awan
mendung bersama gerimis salji yang turun di Mutah ini. Siapa yang tahu? Dan
pada waktu itu, hanya aku dan Tuhan sahaja.
Sehingga ke hari ini aku masih
tidak percaya yang aku adalah salah seorang daripada ratusan malahan ribuan
daripada pelajar-pelajar yang berpeluang menuntut ilmu hingga ke luar negara.
Akhirnya Tuhan rezekikan aku di sini. Mulanya, sangkaku semua ini hanya anganan
semata. Tapi tidak. Ini benar-banar realiti. Dulu aku pergi dengan harapan. Dan
aku mahu pulang dengan kejayaan.
Semoga semester kedua yang
akan menjelang tidak lama lagi akan menjadikan aku seorang pelajar yang
mengambil semua manfaat semester pertama sebagai tauladan sempadan supaya
perjalananku yang seterusnya tidak terlalu berduri untuk aku redahi.
Allahumma faqqihni fiddin.
Allahumma faqqihni fiddin.
No comments:
Post a Comment