Bila disebut sahaja perkataan ini, pasti ramai yang akan teringat kepada
peristiwa antara saudari Bawani dan saudari Sharifah…
Dan lantas, ramai yang akan mula mempersoalkan :
“Kenapa mahasiswa seperti kami tidak diberi kebebasan untuk meluahkan
pendapat kami!? Pihak berkuasa atasan nampaknya
seolah-olah ingin mengongkong kami!!
Adakah mereka ingin MEMPERBODOHKAN kami!!?”
“Semua bentuk sekatan yang dikenakan terhadap golongan mahasiswa hari ini
seolah-olah seperti satu sistem yang telah dirancang untuk menghalang mahasiswa
daripada berfikir sekali gus MEMPERBODOHKAN golongan mahasiswa zaman
sekarang!!”
Ya...
Memang tidak dinafikan. Perkara-perkara di atas memang boleh
menjadi penyumbang kepada PEMBODOHAN REMAJA zaman sekarang.
Tapi sedarkah kita, bahawa sebenarnya ada satu faktor lagi yang
sangat-sangat menyumbang kepada PEMBODOHAN MAHASISWA/REMAJA pada hari
ini?
...dan tidak ramai sebenarnya yang sedar akan hal ini.
Proses ‘Pembodohan Mahasiswa’ yang tak perlu dirancang
Menjelang musim peperiksaan...
Ramai yang akan berpulun-pulun menelaah segala macam jenis ilmu
pengetahuan...
Segala macam jenis buku dibeleknya dari halaman ke halaman...
Demi bergelar mahasiswa yang ‘berjaya’ di dalam imtihan...
Namun, setelah tamat sahaja tempoh ‘darurat’ peperiksaan. Masing-masing seolah-olah seperti telah ‘bebas’ dari semacam jenis
cengkaman bebanan. Dan masing-masing akan mula berfikir bagaimana untuk menghabiskan sisa-sisa
baki masa di waktu kelapangan...
Mulalah terdetik...
Movie... Korea... Jepun... PES... ZOMBIES...
ZOMBIES... Korea... Jepun... Movie... PES...
PES... Jepun... ZOMBIES... Korea... Movie...
Dan segala macam aktiviti yang sewaktu dengannya.
Hari demi hari berlalu. Dan mahasiswa yang sering menentang proses PEMBODOHAN MAHASISWA oleh
mana-mana pihak ini terus dengan rutin harian mereka.
Rutin yang kurang mengembangkan potensi
mahasiswa yang terpendam. Rutin yang banyak membazir masa-masa yang bernilai.
Rutin yang terus sebenarnya berperanan sebagai sistem PEMBODOHAN MAHASISWA yang
kita sendiri tidak sedar.
“Siapa kata aktiviti macam ni kurang mengembangkan potensi!? English aku improve kot
dengan aktiviti-aktiviti macam ni...”
Ya...
Memang English anda akan ada improvementnya. Tapi bukankah banyak lagi bidang ilmu lain yang perlu kita improvekan
prestasinya? Bukan setakat English sahaja.
Betul tak?
“Agak-agak la wei! Takkan nak berhibur sekejap pun tak boleh!? Salah ke
nak release tension sikit!? Sedangkan Nabi pun berhibur...!!”
Ya...
Memang saya tidak mengatakan aktiviti sebegini adalah salah. Bahkan saya sendiri turut melakukannya sekali sekala. Dan memang tiada nas-nas yang MENGHARAMKAN aktiviti sebegini rupa. Kerana
memang kita adalah manusia biasa.
Buatlah sekali sekala...
Cuma yang menjadi masalahnya adalah pabila ianya menjadi BANYAK KALA. Sehingga ‘dijadikannya sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang’...
Pantang ada masa free,mesti perkara-perkara ini yang ingin
dilakukannya. Sehinggakan kekadang pabila disebabkan terlalu ‘khusyuk menikmatinya’, habis terlepas segala kewajipan ibadah yang perlu ditunaikannya.
Khusyuk bermain games sehinggakan terlepas ganjaran
solat di awal waktu. Khusyuk melayan movie di
malam hari sehinggakan subuhnya tergadai di keesokan hari. Khusyuk mengejar upgrade game’s character sehinggakan
terlupa untuk upgrade taraf ilmu diri yang masih di takuk yang
lama.
Inilah sebenarnya yang dikatakan sebagai PEMBODOHAN MAHASISWA! Mahasiswa/remaja yang kekal di takuknya yang lama. Tiada sebarang usaha untuk meng-upgrade-kan kandungan ilmu dan prestasi
dirinya ini.
Masa-masa berharga yang dipinjamkan sementara dibazirkan begitu sahaja. Benarlah sabda Nabi s.a.w. :
{
نِعمَتَانِ مَغبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِّنَ النَّاسِ,الصِّحَّةُ وَالفَرَغ }
Maksudnya : “Dua nikmat yang
kebanyakan dari kalangan manusia lupa akannya. Sihat dan masa lapang.”
Contohilah semangat upgrade ilmu mereka
yang dahulu
{ اطلُبُوا العِلمَ مِنَ المَهدِ إِلَى
اللَحدِ }
Maksudnya : “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”
Perjalanan menggali ilmu tidak pernah berakhir. Cuma manusia yang kekadang terlalu cepat menitiknoktahkannya.
Contohilah kesungguhan mereka-mereka yang terdahulu. Contohilah Imam Syafie’ yang bersusah payah mencari seberapa banyak mutiara
ilmu meskipun beliau dihimpit dengan seribu macam kemiskinan.
Hatta dikisahkan Imam Syafie’ ini akan sanggup pergi melewati
pejabat-pejabat kerajaan untuk mengutip kertas-kertas yang dibuang supaya dapat
dijadikan sebagai tempat catatan. Dan andai keadaan terus mendesak, beliau akan sedaya boleh cuba mencatat
segala ilmu yang diperolehnya baik di atas tembikar-tembikar mahupun di atas
pelepah-pelepah tamar.
Punya begitu susah keadaan beliau di waktu itu. Ditambah pula dengan segala macam kemudahan yang masih belum wujud lagi di
waktu itu.
Tiada kereta...
Tiada komputer...
Tiada internet...
Namun, tetap gigih meneruskan usaha tanpa hentinya dalam menuruti
lorong-lorong ilmu.
Pernah sekali Imam Syafie’ ditanya :
“Bagaimana keadaan anda dalam mencari ilmu?”
Lantas beliau menjawab :
“Saya mencarinya umpama seorang ibu yang kehilangan satu-satunya anaknya di
dunia dan ia tidak memiliki sesiapa pun selain dari dia...”
Berbeza dengan kita yang mencarinya seperti ala kadar sahaja dan mudah
berasa ‘PENAT’ untuk mencari ilmu-ilmu ini.
Pabila kekadang jadual pembelajaran terlalu padat sedikit susunannya. Pabila kekadang tempat pengajian agak jauh sedikit pertapakannya. Pabila kekadang waktu pengajian agak lama sedikit tempohnya.
Akan ada suara-suara kecil hati yang mula mengeluh ‘KEPENATAN’.
Di saat ini, ingatlah pesan Imam Syafie’ r.h. :
“Pabila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung
peritnya kebodohan.”
Berdampinglah senantiasa dengan mereka yang cinta akan ilmu dan rajin
keluar pergi mengutip mutiara-mutiara ilmu. Kerna pendampingan seperti ini
mampu menyuntik serba sedikit semangat baru kepada diri kita yang kekadang
perlukan teman-teman sebagai perangsang yang tak diduga.
Seperti kata pujangga :
“Sebaik-sebaik sahabat adalah mereka yang mengingatkan diri kita di kala
kita kealpaan, dan seburuk-buruk sahabat adalah mereka yang mendiamkan diri di
kala kita memerlukan.”
Hargai dan manfaatkan sebaiknya masa lapang yang dipinjamkan sebentar kepada kita. Kerna bimbang masa yang ‘dipinjamkan’ ini akan
dipersoalkan kembali oleh Tuan Punya masa di ‘dunia sana’ nanti.
“Untuk apa usia mudamu digunakan?”
Soalan yang paling dikesali oleh mereka-mereka yang sudah tiada di sisi
kita.
‘Every second of thing you’ve done is being counted...’
Setiap detik masa adalah berharga.
Dan oleh sebab
itu juga Ibnu ‘Aqil al-Hambali r.h. pernah sekali berkata...
“Sungguh tidak benar bagiku untuk mensia-siakan waktu walau sesaat daripada
usiaku. Kalaupun lisanku berhenti daripada menghafal, mataku berhenti daripada
membaca, maka aku pasti akan menyibukkan fikiranku di saat istirehatku sehingga
ketika aku bangun, pasti telah aku miliki dalam diriku apa yang akan kutulis
kemudiannya...”
Sibukkanlah masa kita dengan mencari pelbagai jenis ilmu yang baru. Lazimkan diri dengan membaca buku ketika ada masa lapang. Ataupun
sekurang-kurangnya isikan masa senggang itu dengan perkara-perkara yang
bermanfaat
supaya ‘proses Pembodohan’ itu tidak berlaku ke atas kita selamanya.
Dahagakan diri dengan meneguk segala ceruk ilmu. Kerna sungguh perjalanan
menuntut ilmu itu adalah sangat panjang dan tidak akan pernah berakhir.
Firman Allah s.w.t :
{
قُل لَّو كَانَ البَحرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتُ رَبِّي لَنَفِدَ البَحرُ قَبلَ أَن
تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَو جِئنَا بِمِثلِهِ مَدَادًا }
Maksudnya : “Katakanlah (wahai
Muhammad), ’Seandainya lautan itu menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah
(yakni ilmu-ilmu) Tuhan-Ku, maka pasti akan habislah lautan itu sebelum selesai
(penulisan) kalimah-kalimah Tuhan-Ku itu, meskipun Kami datangkan (lagi)
tambahan sebanyak itu (juga).”
(surah al-Kahfi : ayat 109)
Wallahua’alam.






Aik? Macam kenal je artikel ni?? Hehe ^_^
ReplyDeleteHihi...
ReplyDeletekenal ke? alamak! ;)