Monday, 17 December 2012

Usrah

Assalamualaikum.

Pada hari sabtu, selepas solat asar aku bergegas keluar rumah untuk satu liqa' bersama keluarga usrah. Kali ini liqa' kami bertempat di rumah kakak. Minggu lepas rumahku menjadi tempat berhimpun tetapi perjumpaan kami tidak menjadi kerana ramai adik-beradik kami yang masing-masing ada agenda tersendiri. Jadinya perjumpaan kami tertangguh hampir dua minggu jugalah kerana kesibukan menghadapi imtihan thani. 

Lebih kurang jam 4.40 petang jugalah baru kami dapat membuka majlis. Agak lewat kali ini. Azan maghrib pun biasa berkumandang sekitar kurang jam 6.00 petang. Sedia dimaklumi oleh semua pelajar di sini bahawa akhawat tidak boleh keluar selepas maghrib tanpa murokib. Tindakan akan dikenakan pada mana-mana pelajar yang melanggar peraturan tersebut. 



Usrah kali ini membincangkan tentang akhlak. Aku sempat membaca sedikit artikel yang berkait dengan akhlak supaya nanti dalam perjumpaan kami, aku dapat memberi serba sedikit manfaat kepada adik-adik seusrah. 

Aku menemukan hadis-hadis yang menceritakan bahawa akhlak mulia itu sangat bernilai di sisi Allah sehinggakan ada hadis yang aku jumpa berbunyi begini, 

"Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya".

Darjat yang sama dengan mereka yang berpuasa dan mengerjakan solat di malam hari? Beruntungnya mereka yang memiliki sifat mulia. Aku teringin! Tuhanku, ajarkan aku bagaimana berakhlak mulia...

"Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya Allah akan memuliakan kedudukan seseorang  dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian?" Mereka menjawab : "Ya, wahai Rasulullah". Kemudian baginda bersabda : "Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya denganmu".

Ya Allah! Betapa Engkau memuliakan mereka yang memiliki akhlak mulia. Ku mohon pimpin diri ini ke arah berakhlak sebagimana yang Engkau dan kekasihMu anjurkan.

"Apabila Allah subha nahu wata'ala telah menghimpunkan makhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari kiamat itu pun menyeru : "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan?" Baginda bersabda : "Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan meraka adalah sedikit. Meraka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu di sambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya, : " Apakah keistimewaan yang kamu miliki?" Mereka menjawab : "Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut". Lalu dikatakan kepada mereka : "Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal". 

 
Tiga hadis ini aku bawakan di dalam usrah. 
Aku sempat membaca beberapa kisah yang menunjukkan akhlak mulia baginda semasa hidup. Memang banyak. Terlalu banyak. Bahkan dikatakan akhlak baginda rasul adalah akhlak al-quran. Kebetulan dalam usrah dibahaskan, 

"Apa yang dikatakan akhlak baginda rasul sebagai akhlak al-quran?"

Aku membuka mulut menceritakan bagaimana dikatakan baginda berakhlak dengan akhlak al-quran itu. Setakat yang aku baca, semua perlakuan dan tingkah laku baginda adalah bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh al-quran sehingga baginda dikatakan berakhlak dengan akhlak al-quran. 

Aku juga sempat bercerita. 

Sifat mulia yang baginda miliki sejak kecil. Baginda tidak pernah membuka aurat. Malah aku mendapat tahu baginda lahir ke dunia dalam keadaan sudah berkhatan. Dan menurut cerita yang aku baca, di zaman jahiliyyah. Kanak-kanak yang berusia sepuluh tahun akan dibogelkan dan di suruh bertawaf. Tetapi pada setiap kali tiba giliran baginda rasul, baginda pengsan. Maka baginda terlepas dari terpaksa membuka auratnya. Sedang isteri baginda Aisyah sendiri pernah mengatakan bahawa beliau tidak pernah melihat aurat (kemaluan) baginda. Malah baginda akan mengucapkan kalimah ghufronak (meminta keampunan) setiap kali selepas keluar dari mengqada hajat. Mungkin baginda rasa bersalah kerana terpaksa membuka aurat walaupun baginda bersendirian. Sampai begitu sekali akhlak mulia baginda semasa hidup.    

Sebelum menutup tirai. kami menjamu selera dengan kek yang disiapkan oleh naqibah usrah yang baik hati. Menyambut hari lahir adik-beradik usrah kami. Indah ukhwah ini. Aku sangat sukakannya. 




Sekian dulu. Setiap kekurangan adalah dari tulisan saya sendiri.

No comments:

Post a Comment